Saturday, 21 October 2017

BERSALIN SEBELUM DUE DATE. PANDUAN UNTUK MAMA SUPAYA TAK PANIK



Kelahiran boleh berlaku bila-bila masa dan di mana sahaja. Lebih-lebih lagi bagi kehamilan yang sihat dan kandungan sudah melewati 37 minggu.

Seelok-eloknya sentiasa bawa bersama buku rekod pemeriksaan kehamilan dan beg hospital yang berisi kelengkapan bersalin apabila kandungan menghampiri tarikh jangkaan bersalin.

Bagi kes yang melibatkan sakit tiba-tiba ketika memandu di jalan raya atau ketika berseorangan di rumah, beberapa langkah perlu dilakukan untuk memastikan proses kelahiran yang selamat.

1. Sekiranya ibu terbabit sedang memandu, maka dia perlulah berhenti di tempat yang selamat seperti di lorong kecemasan, stesen minyak, atau tempat rehat R&R atau mana-mana yang terdekat.

2. Minta bantuan orang ramai untuk menghubungi talian kecemasan Malaysian Emergency Response Services (MERS) 999 bagi mendapatkan bantuan kecemasan, diikuti dengan ahli keluarga yang terdekat.

3. Jika tidak ada orang lain bersama, hubungi 999 sendiri dan ikut arahan paramedik MERS dengan tenang. Paramediks MERS memerlukan maklumat akan lokasi ibu bagi memudahkan bantuan kecemasan disalurkan.

4. Bagi ibu yang berseorangan di rumah, cuba berbaring di atas katil atau permukaan yang rata. Tinggikan kepala dengan bantal. Dengar arahan paramedik MERS dengan teliti.

5. Pastikan ibu menarik nafas yang dalam dan perlahan di antara kontraksi.

Tanda-tanda kelahiran amat dekat

Ibu perlu tahu tanda-tanda ini supaya boleh mengenal pasti bahawa kelahiran akan berlaku dan tidak sempat untuk ke hospital. Pada kebiasaanya bagi anak pertama, kelahiran akan mengambil masa lebih lama manakala bagi kelahiran anak kedua dan seterusnya akan berlaku lebih cepat.
  • Kontraksi yang kerap iaitu antara dua hingga empat tiga minit sekali.
  • Gesaan untuk meneran atau rasa ingin buang air besar
  • Air ketuban keluar dengan banyak secara tiba-tiba.
  • Ibu dapat lihat atau sentuh kepala bayi pada bahagian kemaluan.
Lima keperluan asas perlu ada

Selain segera mendapatkan bantuan kecemasan, sekiranya masih sempat, sediakan peralatan asas bagi memastikan kelahiran lebih mudah dikendalikan.
  1.  Sediakan alas tempat perbaringan seperti plastik alas meja atau hamparan kain yang tebal. Ini kerana proses kelahiran akan melibatkan pengeluaran lendir dan darah yang banyak dan alas tersebut memudahkan proses membersihkan kelak.
  2. Cadar, selimut, kain batik atau tuala yang bersih dan kering.
  3. Sekiranya tiada kain, kertas atau surat khabar kering juga boleh digunakan.
  4. Kain lampin untuk menyambut bayi dan kain untuk membalutnya.
  5. Air suam yang diletakkan dalam besen yang bersih. Ia diperlukan untuk membuang kekotoran lendir pada bayi dan mencuci tangan.
Tips Elak Panik dan Bersedia Segera

Ibu perlulah berkeyakinan diri untuk melalui proses bersalin walau pun terpaksa melakukannya seorang diri atau tanpa sempat ke hospital. Bersalin adalah proses semulajadi bagi seorang wanita. Jika kedudukan bayi betul dan sudah berada di bahagian rongga pelvis, kelahiran akan mudah dan tidak mengambil masa yang lama.

Walaupun begitu, pastikan faktor kebersihan dititikberatkan untuk mengelakkan jangkitan kuman kepada ibu dan anak. Ibu perlu mencuci bahagian intim dengan air atau dengan sabun dan air sebelum proses kelahiran. Suami, ibu atau sesiapa sahaja yang akan menyambut bayi juga perlu bersih.

Ibu tidak perlu meneran bagi kes kelahiran seperti ini. Sebaik-baiknya jangan meneran. Beberapa teknik pernafasan boleh dilakukan seperti menarik nafas yang dalam dan perlahan atau pernafasan "penting", iaitu bernafas dengan kuat dan cepat. Ia juga dapat mengelakkan koyakan pada tisu-tisu lembut, melengahkan masa untuk persiapan dan mengelakkan kecederaan atau bayi terjatuh jika ibu masih belum dalam posisi yang membolehkannya menyambut bayi.

Bila si kecil sudah keluar!
  • Saat ini ibu atau orang yang menyambut bayi perlulah bersedia untuk mengampu kepala, bahu dan badan bayi dan dorongnya untuk mengelakkan koyakan teruk pada ibu. Berhati-hati kerana selalunya bayi licin.
  • Perhatikan kedudukan tali pusat. Longgarkan untuk mengelakkan ia mencerut leher atau badan bayi.
  • JANGAN POTONG TALI PUSAT UNTUK MENGELAKKAN JANGKITAN KUMAN
  • Lap seluruh badannya terutama pada bahagian mulut dan hidung yang mungkin mempunyai lendir dengan kain lembut seperti kain lampin.
  • Sambil mengelap, urut perlahan bahagian belakang bayi dan kaki untuk merangsang bayi menangis supaya dia boleh bernafas dengan baik.
  • Letakkan bayi di dada ibu (atau perut ibu jika tali pusat pendek) secara menangkup atau melekap untuk sentuhah kulit ke kulit. Selimutkan tubuh bayi untuk mengelakkan kesejukan.
  • Sambut uri keluar dan biarkan tali pusat tidak dipotong. Tunggu sehingga bidan memotongnya menggunakan peralatan steril.
  • Dapatkan posisi yang selesa untuk ibu boleh memulakan penyusuan kali pertama. Elakkan ibu kesejukan dengan membersihkn ibu dan kainnya yang basah.
  • Sementara menunggu kehadiran paramedik, duduk bersama dengan ibu dan bayi sepanjang masa untuk memastikan kedua-duanya dalam keadaan baik. Peralatan ibu dan bayi boleh disediakan kerana kemungkinan ibu dan bayi akan ditahan di hospital.

No comments:

Post a Comment