Monday, 16 October 2017

10 MASALAH KESIHATAN BAYI BARU LAHIR DAN CARA ATASINYA




Saat kelahiran bayi yang dikandung sememangnya ditunggu oleh setiap ibu bapanya. Dalam suka, kadang kala terpalit duka di mana anak yang baru lahir mengalami masalah kesihatan ringan.

Bagi ibu bapa baru ataupun yang sudah punyai anak yang ramai pun, sangat penting untuk anda mengetahui serba sedikit tentang masalah-masalah kesihatan yang biasa terjadi kepada bayi baru lahir.

Bukan sekadar mengambil tahu tentang penyakit itu, anda juga perlu faham apa patut dilakukan agar bayi lekas sihat.

#1 KOTORAN PADA MATA BAYI

Tidak semua bayi lahir dengan keadaan yang bersih. Ada segelintir bayi yang mengeluarkan selaput putih kekuningan di hujung matanya. Kotoran mata yang biasa disebut sebagai tahi mata ini boleh menyebabkan bayi tidak selesa apabila sukar membuka matanya.

#2 RUAM PADA KULIT

Ruam pada kulit adalah hal yang sangat biasa terjadi pada bayi. Hal ini disebabkan kulit bayi masih sensitif. Ruam itu mungkin berlaku diakibatkan oleh suhu yang terlalu panas di persekitarannya. Jika bayi mengalami ruam, jangan digunakan bedak bayi yang biasa disapu ke kulitnya setiap kali selepas mandi. Hindari juga pakaian tebal atau berlapis dan pastikan pengudaraan di sekitarnya nyaman.

#3 SESAK NAFAS

Sesak nafas sehingga muka bayi boleh bertukar kebiru-biruan boleh berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor. Antaranya seperti tersedak, jangkitan, pembesaran kelenjar thymfus dan kelainan pada trakea. Namun, penyebab yang paling lazim adalah kemasukan udara melalui mulut semasa bayi sedang menyusu. Jika penyebab terakhir yang membuat bayi sesak nafas, anda perlu kerap sendawakan bayi selepas menyusu.

#4 MUNTAH

Muntah terjadi kerana bayi terlalu kenyang, tersedak atau ada lendir di dalam perutnya. Cara mengatasi masalah ini adalah dengan mendukungnya menghadap ke belakang. Pastikan kedudukan dada bayi selari dengan bahu anda. Setelah itu, tepuk punggungnya dengan lembut. Namun, jika dia muntah berterusan dan berlebihan, segera bawa dia ke doktor kerana mungkin ia petanda awal alahan terhadap sesuatu.

#5 DEMAM

Demam pada bayi jangan dibuat main. Jika suhu bayi masih di bawah 37•C, memberikannya susu sudah memadai. Namun, jika demam sudah mencapai angka 38•C, lap tubuhnya dan bahagian kepala dengan tuala yang dibasahi air. Jangan selimutkan atau sarungkan pakaian berlapis ketika dia demam. Sebaliknya, berikan pakaian yang tipis dan lembut. Jika tangan dan kaki bayi terasa sejuk, pakaikan mitten dan booties atau stokin.

#6 JANGKITAN TALI PUSAT

Selepas tali pusat dipotong, luka bekas potongan itu perlu dijaga dengan baik sehingga kering. Namun, ada bayi yang mengalami jangkitan pada tali pusatnya. Tanda jangkitan yang paling biasa ialah ruam, bengkak dan kadang kala keluar cecair jernih melekit mahupun nanah. Jika ia berlaku kepada bayi, segera dapatkan pemeriksaan doktor. Dalam masa yang sama, pastikan kebersihan tangan anda sebelum merawat tali pusatnya.

#7 CIRIT-BIRIT

Masalah lain yang sering dialami bayi baru lahir adalah cirit-birit. Penyebabnya mungkin terjadi kerana alahan kepada susu formula. Sebaik-baiknya berikan susu ibu. Susukannya dengan kerap. Jika masalah masih berlarutan dan disertai dengan kurang menyusu, muntah atau demam, segera ke klinik atau hospital berhampiran.

#8 SEMBELIT

Selain daripada cirit-birit, bayi juga mungkin boleh mengalami sembelit. Hal ini diakibatkan oleh pemberian susu formula atau pemberian makanan pejal. Jika bayi sudah melebihi umur enam bulan, pemberian buah-buahan seperti pisang atau pir akan membantu. Namun, jika bayi belum memasuki usia makan, hentikan pemberian susu formula sementara atau ganti produk susu yang lainnya.

#9 KEJANG

Kejang merupakan gangguan pada bayi yang harus diambil perhatian. Tanda-tandanya adalah mulut tertutup, gerakan tidak terkawal dan bola mata berputar-putar. Pertolongan pertama yang harus dilakukan adalah dengan membersihkan lendir di sekitar mulut dan hidung bayi. Jika suhu badan bayi panas, lap kain basah di bahagian lipatan paha, bawah lengan dan dahi. Jika disertai muntah, miringkan bayi agar muntah yang ada tidak ditelan semula. Segera ke klinik untuk pemeriksaan doktor untuk menghindari gangguan pada otak.

#10 JAUNDIS

Kulit bayi berwarna kuning adalah hal yang berlaku di sekitar umurnya tiga hingga lima hari. Hal ini disebabkan organ hatinya belum matang untuk memecahkan billirubin sehingga menyebabkan mata dan kulitnya kelihatan kuning. Untuk mengatasi masalah ini, kerap beri bayi susu ibu. Pada masa yang sama bawa dia berjumpa dengan doktor segera untuk pemeriksaan darah bagi mengetahui dengan jelas tahap billirubin di dalam tubuhnya.




No comments:

Post a Comment