Wednesday, 25 October 2017

JOM KENALI PERKEMBANGAN KEMAHIRAN DIRI SI KECIL

Banyak perubahan yang mula dilalui oleh si kecil berumur satu tahun. Dia kini bukan lagi bayi dan banyak perkara yang perlu ibu bapa lakukan demi menyokong pertumbuhan dirinya.

Bersiap-sedialah anda berdua untuk melalui pengalaman melayan kerenah anak yang berusia satu hingga dua tahun ini. Akan ada pelbagai perkembangan diri yang bakal dia tunjuk. Oleh itu, jangan terlepas pandang dan peluang untuk bersama-sama dengannya melalui pengalaman pertama dalam sesuatu kemahiran yang mula dikuasainya.




BERAT BADAN

Perkembangan pertama yang harus anda perhatikan daripada anak yang menginjak usia setahun adalah berat badannya. Pada usia satu tahun, dia sepatutnya mencapai berat badan tiga kali ganda daripada berat lahir. Perlu anda tahu bahawa setelah kenaikan berat badan yang cukup pesat pada tahun pertama kehidupannya, pada tahap usia ini, berat badannya akan melalui proses pertambahan yang sedikit lambat lantaran terlalu banyak aktiviti-aktiviti yang mahu diterokai oleh dirinya yang sedang belajar ini.

KEMAHIRAN MOTORIK

Sewajarnya, kemampuan bergerak si kecil pada usia sebegini berkembang pesat. Anda harus perhatikan sama ada dia sudah mampu berdiri sendiri atau dapat melangkahkan kakinya buat pertama kali. Jangan kecewa jika dia belum menunjukkan kemahiran ini tetapi terus sokong dan rangsang anak anda sehingga dia mampu melakukannya. Jika sehingga umur 18 bulan, tiada perkembangan yang dapat dilihat, segera berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut.

KEMAHIRAN KENDIRI

Perkembangan diri yang lainnya yang patut dilihat ialah apakah dia sudah dapat makan menggunakan jari-jemarinya sendiri atau membolak-balik setiap helaian buku. Untuk kemahiran yang lebih kukuh, anda boleh merangsangnya dengan bermain mengangkat ganggang telefon mainan atau menyikat rambutnya sendiri. Walaupun mungkin dia belum dapat melakukannya dengan sempurna, ia sudah memadai kerana dia akan belajar untuk menyempurnakannya dalam sedikit masa lagi.

KEMAHIRAN SOSIAL

Daripada segi psikologi, anak pada usia ini adalah pemalu dan takut bila berada di sekitar orang asing yang tidak dikenalinya. Jangan rimas bila dia menangis bila anda berada jauh daripadanya. Biarpun begitu, anak anda kini memiliki beberapa orang yang menjadi kegemarannya yang dia rasa selesa bersama.

Pada masa yang sama dia juga sudah memiliki benda-benda kesukaan seperti mainan, kain, bantal atau selimut sehingga sering kali dia meragam bila barang kesukaannya itu tidak berada berhampirannya saat dia berasa cemas atau takut kepada individu tertentu.

KEBOLEHAN KOMUNIKASI

Menginjak ke usia satu tahun, anak anda sepatutnya mengerti dan dapat memberi tindak balas kepada setiap permintaan anda. Dia juga seharusnya sudah tahu menggunakan bahasa isyarat yang biasanya akan memperlihatkan beberapa gerakan tertentu demi menunjukkan keinginannya seperti menggelengkan kepala atau melambaikan tangannya sebagai tanda selamat tinggal.

Perkembangan lainnya dalam konteks bahasa pula adalah dia mulai dapat memberikan intonasi terhadap celoteh yang diucapkannya. Apa yang menarik, dia berusaha untuk mengikut apa sahaja yang anda perkatakan. Jadi, banyakkan berbual-bual dengannya demi mengembangkan kemahiran berkomunikasi dan berbahasanya.

KEMAHIRAN KOGNITIF

Pada usia satu tahun pun, anak anda sudah boleh mula belajar, berfikir dan menyelesaikan masalah yang bersesuaian dengan tahap umurnya. Jika bermain cari dan sembunyi umpamanya, dia sudah mampu menemui benda yang anda sembunyikan daripada penglihatannya.

Dia juga mampu mengeksploitasi benda secara menyeluruh seperti menggoyang, memukul atau melempar benda yang dipegangnya. Jangan terperanjat jika dia sudah pun mampu menyimpan mainan di dalam bekas simpanan mainan atau mengeluarkan mainan itu sendiri.




PERANAN IBU BAPA

Ibu harus terus mendampingi si kecil pada tahap usia ini. Hal ini terutamanya untuk memastikan perkembangan bahasanya meningkat dari semasa ke semasa. Usahakan untuk memahami perasaannya dengan membantu dia mengembangkan emosinya. Lakukan kegiatan seperti membacakan buku, bermain ba-ba-cak, cari dan sembunyi ataupun permainan-permainan yang lainnya.

Semasa dia bertambah aktif, sediakan tempat bermain yang selesa di dalam rumah supaya dia boleh melakukan eksplorasi. Amati apa sahaja kegiatan yang disukainya dan berikan kebebasan untuk dia menggunakan seluruh kemahiran diri untuk belajar.

Jangan lupa, berikan pujian jika berjaya melakukan sesuatu dengan menggunakan usahanya sendiri. Dalam pada itu, walaupun masih kecil untuk memahami peraturan, anda boleh menunjukkan perilaku mana yang boleh dan tidak boleh dilakukan.

No comments:

Post a Comment