"KOLESTEROL MEMUDARATKAN BADAN ANDA!"
Mitos: Kenyataan ini mungkin mengejutkan tetapi kolesterol sebenarnya tidak memudaratkan. Malah ia merupakan salah satu bahan yang dihasilkan oleh badan kita untuk memastikan kita kekal sihat. Tetapi terlalu banyak kolesterol dalam badan adalah memudaratkan kerana kolesterol boleh terkumpul dalam dinding arteri anda. Pengumpulan ini menyebabkan arteri anda mengeras dan menyempit secara beransur-ansur, seterusnya menyekat aliran darah ke jantung.
"PARAS KOLESTEROL TINGGI BERMAKNA ANDA MENGHADAPI RISIKO SAKIT JANTUNG"
Fakta: Jika terdapat terlalu banyak kolesterol dalam darah, anda menghadapi risiko sakit jantung dan penyakit kardiovaskular yang lebih tinggi.
"PARAS KOLESTEROL RENDAH SELALUNYA PETANDA YANG SIHAT"
Mitos: Tahap kolesterol darah yang tinggi meningkatkan risiko anda mengalami penyakit arteri koronari. Paras kolesterol yang lebih rendah umumnya lebih baik. Bagaimanapun, paras yang rendah kadangkala dikaitkan dengan pelbagai isu kesihatan lain. Jika paras kolesterol yang rendah berada di bawah kadar optimum yang disyorkan, dapatkan rundingan daripada doktor anda.
"ORANG YANG KURUS TIDAK MEMPUNYAI PARAS KOLESTEROL YANG TINGGI"
Mitos: Walaupun orang yang mempunyai berat badan berlebihan lebih cenderung menunjukkan paras kolesterol tinggi, namun orang yang kurus tidak semestinya rendah paras kolesterolnya. Pastikan anda memeriksa paras kolesterol anda dari masa ke semasa.
"ANDA PERLU BERPUASA SEBELUM MENJALANI UJIAN KOLESTEROL"
Mitos: Ujian darah membantu doktor mengesan masalah kesihatan tertentu dan menentukan sama ada badan anda berfungsi dengan baik. Doktor juga menggunakannya untuk menentukan sejauh mana sesuatu rawatan berkesan. Anda tidak perlu berpuasa sebelum menjalani semua ujian darah. Doktor akan memberitahu anda jika anda perlu berpuasa.
"BERTUKAR DARIPADA MENTEGA KEPADA MARJERIN AKAN MEMBANTU MENURUNKAN PARAS KOLESTEROL SAYA"
Mitos: Seperti mentega, marjerin juga mempunyai kandungan lemak tinggi dan semua makanan berlemak perlu diambil secara sederhana jika paras kolesterol anda tinggi.
"OAT BOLEH MENURUNKAN PARAS KOLESTEROL"
Mitos: Emping oat mengandungi serat larut yang membawa manfaat untuk mengurangkan paras kolesterol dalam aliran darah. Oat mengandungi bahan yang dinamakan beta-glukan iaitu serat yang larut air. Serat ini akan mencegah badan daripada menyerap jumlah kolesterol makanan yang berlebihan lantas menurunkan paras LDL. Maka, pengambilan oat secara kerap boleh diimbangi dengan pemakanan sihat lain demi menguruskan gaya hidup anda. Bagaimanapun, anda perlu berbincang dengan doktor untuk pilihan rawatan terbaik untuk menangani masalah yang dihadapi.
"ORANG YANG CERGAS TIDAK BOLEH MENGALAMI SAKIT JANTUNG"
Mitos: Walaupun anda mengamalkan gaya hidup sihat, kerap bersenam dan menjaga makan minum mempunyai faktor risiko sakit jantung tertentu yang lebih rendah, ini tidak bermakna anda langsung tidak perlu khuatir dan lepas tangan. Individu yang cergas daripada segi fizikal masih perlu memeriksa tekanan darah dan paras kolesterol mereka daripada masa ke masa sebagai langkah berjaga-jaga.
"PESAKIT JANTUNG PATUT KURANGKAN PENGAMBILAN LEMAK SEBANYAK YANG MUNGKIN"
Mitos: Memang benar anda patut makan makanan yang rendah lemak tepu dan mengelakkan lemak trans. Tetapi lemak lain, terutamanya lemak tidak tepu dalam minyak sayuran dan makanan lain adalah baik untuk diet.
"SAKIT JANTUNG SEBENARNYA MASALAH KAUM LELAKI"
Mitos: Sakit jantung menyerang tanpa mengira jantina. Malah lebih ramai wanita berbanding lelaki yang meninggal dunia setiap tahun akibat sakit jantung sejak 1984. Sepertimana penyakit ini menjadi punca kematian utama lelaki, ia juga merupakan pembunuh utama wanita berusia lebih 65 tahun.
No comments:
Post a Comment