Sebagai ibu bapa, sudah tentu kita nak yang terbaik untuk anak. Tak kiralah daripada segi peribadi, akhlak mahupun sahsiah diri mereka.
Pemakanan Sihat
Berikan makanan yang halal dan bernutrisi (toyyiban). Makanan yang natural dan dimasak sendiri. Galakkan mereka minum air mineral dan makan sayur/buah. Elakkan makanan yang mempunyai kalori yang tinggi (manis) seperti kek, coklat dan minuman dalam kotak.
Berkomunikasi
Banyaklah berkomunikasi dengan mereka. Bicara dengan penuh emosi. Jangan malu untuk berkomunikasi dengan cara mereka. Bercakap dengan nada, mimik muka, ketawa dan suara-suara yang mencuit hati mereka.
Bermain Dengan Anak
Bermain dengan mereka. Mereka ibarat anak-anak singa yang memerlukan pergerakan fizikal untuk menguatkan otot-otot tubuh mereka. Kita perlu pantau, dan bukan hanya berada di sisi. Memerhatikan keselamatan dan melihat perkembangan mereka. Mereka juga perlukan permainan minda. Soal jawab dengan mereka dan kita akan kagum dengan jawapan mereka. Kita bukan mahu jawapan yang betul, tetapi jawapan yang logik pada tahap pemikiran mereka.
Cuba bertanya “Kenapa kentut kita busuk?” Tentu kita dapat jawapan yang mencuit hati kita.
Layan Anak
Menyanyi bersama mereka. Dalam perjalanan yang jauh bersama keluarga kita boleh nyanyi bersama-sama, sama ada lagu kanak-kanak, lagu nasyid atau lagu patriotik. Mereka pasti mengenangkan pengalaman ini apabila mereka dewasa.
“Lagu ini lagu kesukaan bapa saya. Kami pernah nyanyi bersama-sama dalam kereta. Itu saat manis yang saya ingat. Selepas itu ayah saya sentiasa sibuk dan tiada lagi masa untuk saya”
Ajar Ilmu Baru
Bawa anak berjalan dan ajarkan ilmu baru. Ajak ke tepi rumah dan tunjukkan tumbuhan/haiwan kecil yang tidak pernah dia lihat. Berjalan di waktu malam, dan bertanyakan “mengapa bulan itu bulat?” Temani anak menonton TV. Bila anak menonton TV, luang masa bersama mereka walaupun hanya cerita kartun. Luangkan sedikit masa 10-15 minit untuk melayan emosi mereka ketika menonton.
Sebut Perkataan Baik-baik
Ucapkan perkataan yang baik-baik saja di hadapan mereka. Tegur mereka jika mereka menggunakan perkataan yang buruk. Selalu sebutkan perkataan “terima kasih, saya sayang awak” apabila dia melakukan perkara yang baik walaupun kecil. Ajar mereka dengan minta mengulangi perkataan baik depan kita.
Peluk Dan Cium
Selalu memeluk dan mencium anak. Peluk dan cium mereka paling kurang sehari sekali. Apabila kita baru balik rumah dan mereka telah tidur, peluk dan cium mereka juga. Jadikan rutin hidup. Mulakan dari kecil. Anak yang sentiasa dipeluk dan dicium selalunya akan mengikut kata kita.
Beri Perhatian
Dengar rintihan mereka dan beri perhatian. Apabila mereka takut, kita dengar dan bantu. Tidak semua kanak-kanak akan memberikan respon yang serupa. Ada kanak-kanak yang menjadi kuat bila dibiarkan, ada kanak-kanak yang semakin lemah.
Kenalpasti Kebolehan Anak
Perhatikan kebolehan anak dan apa bakat dan kekuatan dia. Ada anak yang cemerlang dalam akademik, ada yang cemerlang dalam kemahiran pertukangan, ada yang cemerlang dalam komunikasi, ada yang cemerlang dalam sukan. Jangan memaksa anak untuk memenuhi cita-cita kita. Tetapi bantu anak memenuhi cita-cita mereka.
Ajar Lebih Dari Satu Bahasa
Perkenalkan lebih dari satu bahasa. Bercakap dengan mereka dalam bahasa Inggeris, Mandarin, Tamil, Arab, french, Spain etc. Mereka mudah mengingat perkataan-perkataan itu. Otak mereka seperti sponge.
Yang terakhir selalu doakan anak untuk menjadi manusia yang terbaik. Baca doa depan mereka supaya mereka dapat dengar.
Kecerdasan anak-anak tidak hanya bergantung kepada faktor genetik, tetapi cara kita mendidik mereka. Semoga bermanfaat.
Credit to : Pa & Ma
No comments:
Post a Comment